Konflik-konflik yang seringkali hadir dalam
kehidupan seorang manusia merupakan qada’ dan qadar (ketentuan)
daripada Allah S.W.T. Kita yang namanya hamba, sangat perlu untuk sedar
dan menerima hakikat bahawa sesungguhnya antara tujuan penciptaan
manusia adalah untuk diuji dan dinilai oleh Allah S.W.T. Malangnya akal
manusia yang pendek membuatkan kita terlalu prejudis dan bersangka buruk
dengan ketetapan yang telah Dia aturkan.
Bukan semua ketetapan
yang baik pada pandangan kita, semudahnya boleh kita takrifkan sebagai
rahmat. Bukan semua ketentuan yang buruk pada penglihatan kita,
semudahnya pula kita hukum sebagai musibah dari Tuhan. Kita terlupa,
diisebalik turunnya ujian itu tersembunyi jutaan kenikmatan, dan
diturunkan nikmat sedangkan nikmat itu adalah ujian dirinya. Hakikatnya,
apapun jua yang Allah kurniakan baik nikmat mahupun ujian merupakan
sebahagian daripada kehidupan.Kisah si Ombak
Sedang ombak menikmati indahnya tiupan angin di lautan yang terhampar luas, dia melihat ombak lain yang berada tidak jauh di hadapannya menghempas batu-batu di tepian pantai. Menyedari tidak lama lagi dia juga akan menerima nasib yang sama, dia berasa sedih.
“Bagaimana sekarang ini? Adakah aku juga akhirnya akan menghempas batu-batu itu? Pasti sangat menyakitkan.”
Kemudian datang ombak yang lain. Melihatkan ombak tadi sedang bersedih, lantas dia bertanya:
“Kenapa engkau kelihatan sedih?”
Ombak yang sedih tadi menjawab:
“Engkau tidak tahukah kita semua akan melanggar batu-batu besar di hujung sana. Entah apa akan jadi kepada kita selepas itu. Malang sungguh nasib kita menjadi ombak.”
Ombak lain tadi kemudiannya membalas:
“Tidak. Bukan begitu. Kita bukannya ombak. Kita sebahagian daripada lautan.”
Persis ombak yang sebahagian daripada lautan, begitulah juga ujian yang sebenarnya merupakan sebahagian daripada kehidupan. Hakikatnya ujian itu bukan semata-mata ujian. Ianya manifestasi kehidupan hamba-hamba yang beriman. Sedangkan Rasulullah S.A.W yang merupakan kekasih Allah lagi diuji, inikan pula kita umat baginda.
Allah S.A.W telah telah berfirman:
“Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu
akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan)
seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada
kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan hartabenda) dan serangan
penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga
berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya:
Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?” Ketahuilah sesungguhnya
pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh
kepada ugama Allah).” (Al-Baqarah: 214)
Ibrah dan pengajaran
Justeru,
yang menjadi pertimbangan kepada Allah kemudiannya adalah bagaimana
manusia beriman tadi menghadapi konflik-konflik tersebut. Sama ada
melalui jalan kebaikan ataupun kejahatan. Manusia yang beriman tidak
terus menyalahkan Tuhan atas sesuatu yang telah ditetapkan. Mereka
beriman bahawa sebaik-baik perancang itu adalah Allah S.W.T walaupun
mereka juga telah merancang sebaik mungkin. Mereka yakin, perancangan
Allah mengatasi apa yang telah mereka rancang. Mereka juga tahu Allah
jualah tempat sebaik-baiknya meletakan pengharapan untuk suatu
kehidupan. Benarlah, sesungguhnya Dia yang Maha Menciptakan dan
menetapkan segala sesuatu.
Firman Allah S.W.T:
“Sesungguhnya mereka telah berlumba-lumba
dalam usaha-usaha kebaikan, dan mereka berdoa kepada Kami dengan penuh
harap dan takut, dan mereka itulah adalah orang-orang yang tunduk
hatinya kepada Kami.” (Al-Anbiya’: 90)
Peribahasa cina ada mengatakan;
‘When the wind of change blows, some build walls, while others build windmills.’
Antara peluang dan ruang paling besar yang Allah kurniakan bersama ujian, adalah kesedaran untuk hamba-hambaNya kembali kepada Tuhan. Sudah menjadi fitrah manusia yang lemah, akan terus teringatkan Allah yang Maha Kuat ketika waktu menghimpit. ‘Allah..’ Itulah kata yang spontan terucap apabila ditimpa sesuatu musibah. Silapnya kita kerana merasakan diri sangat lemah hanya apabila ditimpa ujian. Saat senang diulit kemewahan, entah mana ingatan kita pada Tuhan.
Sampai bila mahu begitu? Sampai bila mahu bertuhan hanya ketika senang? Ingatlah, Allah tetap sama saat kita susah mahupun senang. Allah tetap yang Maha Kuat, Yang Maha Agung. Andai sahaja kita tidak meletakkan Allah sebagai pilihan pertama, pasti segala rencana yang Dia aturkan mampu kita hadapi dengan baik sebagaimana layaknya seorang hamba. Kerana itu, Allah berikan kepada manusia hak untuk memilih berbekalkan Al-Quran dan As-sunnah yang dipandu dengan akal yang waras.
Sabda Rasulullah S.A.W:
“Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu
dua perkara yang mana kamu tidak akan sesat buat selama-lamanya selagi
berpegang dengan keduanya, iaitu Kitab Allah (Al-Quran) dan sunnah
RasulNya” (Hadis Riwayat Muslim)
Ingatlah, dengan berlalunya waktu maka berlalulah juga kesusahan mahupun
kesenangan. Hanyasanya nikmat dan ujian itu adalah sementara. Tiada
kekal selamanya kerana hal itu adalah sebahagian daripada kehidupan
sedang kehidupan itu juga pastinya akan berhenti pada waktu yang telah
ditetapkanNya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan